[VIDEO] ‘Jelas buli di RMC libat bawah umur itu benar’ - Syed Saddiq

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kejadian buli melibatkan beberapa pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) bukan omong kosong, tetapi nyata berlaku sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa, budaya ‘ragging’ keterlaluan membabitkan pelajar bawah umur tidak sepatutnya terjadi, malah suara ibu bapa tidak wajar disekat sama sekali.

**media[2952032]**

Justeru, menurutnya, serbuan pihak polis perlu dibuat segera agar tiada pihak yang berselindung, berdiam diri atau menghalang ibu bapa untuk mendedahkan kebenaran.

“Apa yang ibu bapa dan mangsa kongsikan sangat grafik serta tidak masuk akal! Bukan satu pendedahan sahaja, tetapi ramai.

“Jadi, jelas apa yang berlaku (buli di MTD) itu betul dan tidak boleh kita sembunyi atau nafikan. Jangan sampai kes Allahyarham Zulfarhan Osman terjadi lagi.

“Saya juga harap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin ambil inisiatif untuk pastikan kes buli sebegini tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di salah sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, beberapa bekas pelajar beserta ibu bapa membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian dengan mendakwa dibuli dan didenda secara keterlaluan oleh senior Tingkatan Lima.

Dakwa pengadu, dia dipaksa melakukan denda 'commando rest' sambil muka dilemaskan dalam baldi berisi air bukan niat bergurau, sebaliknya mahu membunuh.

Bukan itu sahaja, ibu kepada salah seorang mangsa buli mendedahkan bahawa anaknya pernah diliwat senior, kes didengar dan pelaku sudah dijatuhkan hukuman.

Bagaimanapun, dakwa wanita tersebut, anak lelakinya dipaksa lapor diri kepada senior selama 60 hari dari bilik ke bilik gara-gara melaporkan perkara berkenaan, bahkan dipaksa mop lantai menggunakan lidah.

Selain itu, ada antaranya mendakwa perbuatan buli di sekolah terbabit dipengaruhi oleh kewujudan beberapa organisasi dalaman seperti Enam Jahanam, Enam Azazil, Tujuh Malaikat Maut dan sebagainya bagi menghalalkan kegiatan pukul-memukul atau curi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga alumni MTD kumpulan Delta pada 2008 dan 2009 berpandangan, kes buli tidak dinafikan berlaku di mana-mana institusi pengajian, namun tidak menyangka buli yang berlaku sampai ke tahap diajar membunuh.

“Memang tak berperikemanusiaan. Perkara ini sudah sampai tahap kalau tak dikekang akan jadi lebih teruk,” ujarnya.

Ditanya mengenai persoalan berbangkit mengapa ibu bapa dan mangsa tidak mahu melaporkannya kepada polis, Syed Saddiq berpendapat, apabila melibatkan institusi ketenteraan dengan kerahsiaan yang sangat tinggi, orang ramai cenderung berbuat demikian akibat terlalu takut.

“Ramai orang takut nak lapor polis, nak harapkan anak-anak ini yang sekarang memang terputus hubungan dengan keluarga.

“Kalau lapor sedikit pun kena pukul, dilabel ‘kaki lapor’ dan disisihkan oleh kawan-kawan.

“Budaya yang sangat menakutkan ini membuatkan mereka tak berani ke depan,” katanya.